KEPENTINGAN MISWAK DALAM ISLAM
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله نحمده ونستعينه ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأن محمدا عبده ورسوله . أما بعد
Pendahuluan
Suatu perkara yang seringkali kita melupai akan kepentingannya adalah mengenai amalan sunnah yang sering dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Perkara ini perlu diketengahkan agar ianya menjadi amalan yang tidak asing bagi umat kita sekarang ini iaitu mengenai dengan kepentingan penggunaan miswak. Amalan penggunaan miswak pada zaman Nabi adalah sangat lazim. Dalam apa keadaan sahaja baginda akan menggunakan miswak untuk membersihkan mulut. Antara perkara-perkara yang Nabi SAW menggunakan miswak adalah ketika memasuki rumah, meninggalkan rumah, sebelum dan selepas makan, sebelum membaca al-Quran, pada hari jumaat dan semasa berpuasa.
Miswak iaitu ranting kayu yang digunakan untuk menggosok dan membersihkan gigi telah digunakan lama sebelum zaman Nabi kita Muhammad SAW. Dalam hadith-hadith yang diriwayatkan menunjukkan miswak adalah merupakan sunnah dan amalan daripada semua nabi-nabi Allah SWT
وعن أبي أيوب رضي الله عنه ه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم أربع من سنن المرسلين الحناء والتعطر والسواك والنكاح وقال بعض الرواة الحياء بالياء رواه الترمذي وقال حديث حسن غريب
Maksudnya : dari Abi Ayub r.a. berkata, telah berkata Rasulullah SAW : empat perkara diantara amalan-amalan para Anbia ialah bersunat, memakai atar, miswak dan bernikah.
Ini menunjukkan bahawa miswak telah digunakan sejak nabi-nabi yang terdahulu. Banyak di antara faedah dan manfaat penggunaan miswak dan yang terbesar sekali adalah berkat perkaitannya dengan amalan para nabi Allah melalui amalan ini.
Kepentingan Miswak
Islam telah menaikkan taraf yang tinggi kepada penggunaan amalan sunnah ini iaitu miswak. Kepentinggannya telah ditegaskan dalam banyak hadith Rasulullah SAW. Kenyataan dan contoh yang dilakukan oleh para sahabat dan ulama Islam membuktikan tentang kelebihan dan kepentingan miswak.
حدثنا عبد الله بن يوسف قال أخبرنا مالك عن أبي الزناد عن الأعرج عن أبي هريرة رضي الله عنه ه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال
: ( لولا أن أشق على أمتي أو على الناس لأمرتهم بالسواك مع كل صلاة )
Maksudnya : Dari Abu Hurairah r.a. sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda : “kalaulah tidak memberatkan umatku atau ke atas manusia maka akan ku perintahkan mereka dengan bersiwak untuk setiap solat”. (Bukhari dan muslim)
Saidina Ali r.a. khalifah Islam yang ke empat pernah berkata : “jadikanlah penggunaan miswak itu wajib untuk mu dan tetap istiqamah dengan amalan ini kerana kesukaan Allah terdapat di dalamnya dan ianya dapat menambahkan pahala solat daripada sembilan puluh sembilan kali kepada empat ratus kali ganda”.
Sebenarnya mengenai kepentingan miswak ini sampai ke suatu peringkat dimana Nabi SAW menyangka bahawa Allah SWT mungkin mengeluarkan suatu perintah memfardukannya ke atas umatnya.
حدثنا هشام بن عمار . حدثنا محمد بن شعيب . حدثنا عثمان بن أبي العاتكة عن علي بن يزيد عن القاسم عن أبي أمامة
: - أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال ( تسوكوا . فإن السواك مطهرة للفم مرضاة للرب . ما جاءني جبريل إلا أوصاني بالسواك . حتى لقد خشيت أن يفرض علي وعلى أمتي . ولولا أني أخاف أن أشق على أمتي لفرضته لهم وإني لأستاك حتى لقد خشيت أن (أحفي مقادم فمي
Maksudnya : Abu Umamah meriwayatkan bahawa, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda : “gunakanlah miswak, kerana sesungguhnya ia mensucikan mulut dan mendatangkan kesukaan kepada Allah SWT. Jibril a.s. kuat menggesa aku menggunakan miswak sehingga aku takut bahawa ianya akan diwajibkan ke atas umat ku. Jikalau aku tidak takut ianya mendatangkan kesusahan terhadap umatku, sudah tentulah aku mewajibkannya ke atas umat ku. Sesungguhnya aku menggunakan miswak dengan banyaknya sehingga aku takut bahagian depan gigi ku akan terkupas ( kerana kerap menggosok dengan miswak). (Ibnu Majah)
Pendapat-Pendapat Dari Imam Syafie Dan Ulama-Ulama Syafi’iyah
Imam Syafie berkata : “sekiranya bermiswak itu wajib tentulah Nabi SAW memerintahkan mereka mengerjakannya, baik menimbulkan kesukaran ataupun tidak. Menurut Mazhab Syafie dimakruhkan bersugi bagi orang-orang yang berpuasa sesudah tergelincirnya matahari supaya tidak hilang bau mulut
Seorang Ulama Syafi’iyah Imam an-Nawawi berkata dalam Syarah Muslimnya : “bersugi itu adalah sunat bukannya wajib, dalam segala keadaan, baik untuk solat mahupun untuk selainnya. Namum begitu sebahagian ulama Syafi’iyah di Iraq telah dilaporkan oleh Abu Hamid Allisfarsyiny berkata bahawa Daud bin Ali berpendapat bersugi adalah wajib untuk solat. Al-Mawardi meriwayatkan dari Daud : “bersugi itu wajib tetapi jika ditinggalkan ianya tidak membatalkan solat”. Ishak bin Rahawaih berpendapat bahawa bersugi itu wajib dan jika ditinggalkan dengan sengaja tidak sah sembahyang itu.
Bagi kebanyakan ulama kalam dan ulama usul serta fuqahak mengatakan perintah bersugi itu adalah wajib berdasarkan pada perkataan “jikalau bukan” yang menunjukkan tidak ada sesuatu, lantaran ada sesuatu yang lain membawa pengertian bahawa perintah bersugi itu tidak wajib kerana alasan kesukaran. Maka jikalau idak ada kesukaran maka tidaklah jatuh sunatnya malah wajibkan pula.
Kesimpulan
Miswak atau kayu sugi telah digunakan sejak sekian lama bagi menyuci dan membersihkan gigi. Ia merupakan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Padanya terkandung seribu khasiat. Tidak hairanlah jika didapati masih ada yang menggunakan kayu sugi berbanding ubat gigi ciptaan masa kini. Malah dengan adanya teknologi yang serba canggih ini ada produk yang dibuat daripada sugi seperti ubat gigi miswak. Rasulullah SAW juga turut menekankan tentang kepentingannya didalam beberapa buah hadith.
Akar kayu sugi yang digunakan untuk membersihkan gigi dan mulut bukan sahaja mengandungi zat anti-microbe (anti kuman) , malah dapat menentang penyakit anaemia. Selain daripada memberikan kesihatan kepada mulut, ia juga mendatangkan kesukaan kepada Yang Maha Pencipta. Allah SWT telah menjanjikan balasan berganda bagi sesiapa yang bermiswak dalam ibadah. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang mengabaikan penggunaan miswak.
Sekian sahaja dari saya, apa yang baik semua datangnya dari Allah SWT dan yang buruk adalah atas kelemahan hamba yang hina ini, tetapi pada hakikatnya semuanya datang dari Allah SWT. Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment